ANALISIS HALA TUJU PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA ERA MASYARAKAT TRADISIONAL DARI ASPEK PEMBANGUNAN INSAN DAN MASYARAKAT
Definisi
Pendidikan
Menurut
Imam Al-Ghazali, Pendidikan merupakan suatu proses kegiatan yang dilakukan
secara sistematik untuk melahirkan perubahan yang progresif pada tingkah laku
manusia. Seterusnya, pendidikan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) adalah
segala perihal mendidik. Oleh itu, pada pandangan saya, pendidikan merupakan
sebuah proses pengajaran dan pembelajaran di mana terdapatnya ilmu baharu yang
akan diketahui dalam proses tersebut.
Pekembangan
Pendidikan Era Masyarakat Tradisional
Pendidikan
semasa era masyarakat tradisional hanyalah suatu keperluan sebagai ikhtiar
hidup dalam masyarakat seperti memburu, bertani, bertukang dan nelayan. Ia juga
merupakan pendidikan jenis informal. Hal ini demikian, pendidikan semasa era
ini adalah tertumpu kepada perbezaan gender dan status sosial dalam masyarakat
demi kelangsungan hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Kurikulum yang menjadi
kepentingan adalah aspek Fardu Ain dan Fardu Kifayah iaitu al-Quran, as-sunnah
serta kitab-kitab yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab dari negara Arab dan
Mesir dijadikan sebagai sumber rujukan. Oleh itu, perkara yang dipelajari melibatkan
pengajian Quran, Hadis, Fiqh, Tauhid dan Tasawuf. Tenaga pengajarnya pula
terdiri daripada para saudagar, pedagang dan pendakwah Islam yang berasal dari
Timur Tengah. Hala tuju pendidikan semasa era masyarakat Melayu tradisional terdiri
daripada enam komponen utama iaitu:
Rajah
di atas menunjukkan hala tuju pendidikan era masyarakat Melayu tradisional yang
boleh dibahagikan kepada enam bahagian. Berikut merupakan penerangan yang lebih
terperinci bagi setiap jenis hala tuju pendidikan era masyarakat Melayu
tradisional :
I.
Adat, adab dan warisan
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), adat didefinisikan sebagai peraturan yang
diamalkan secara turun-temurun iaitu sejak dahulukala di dalam sesebuah
kehidupan masyarakat sehingga ia menjadi hukum dan peraturan yang harus
dipatuhi. Menurut Zurakintan Abdul Razak dan Che Ibrahim Salleh (2015), adab
bermaksud etika atau tatacara yang baik dalam melakukan sesuatu pekerjaan sama
ada ibadah atau muamalah sesuai dengan tuntutan Al-Quran dan al-Hadis.
Seterusnya, warisan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) adalah sesuatu
yang diwarisi secara turun-temurun yang dijadikan peninggalan kepada generasi
akan datang. Oleh itu, hala tuju Pendidikan era masyarakat Melayu tradisional
yang pertama adalah adat, adab dan warisan. Ibu bapa, ahli keluarga dan
masyarakat sekeliling memainkan peranan dalam elemen hala tuju pendidikan ini.
Ia boleh dipelajari melalui penglihatan, pendengaran dan pemerhatian. Melalui
elemen hala tuju pendidikan tersebut, akhlak seseorang individu dapat dibentuk
seperti etika, tingkah laku, budi bahasa dan adab sopan. Selain itu,
keselamatan individu seseorang dapat ditingkatkan melalui ilmu mempertahankan
diri yang dipelajari seperti ilmu persilatan. Hal ini kerana, silat merupakan
suatu ilmu seni bela diri yang diwarisi dan termasyhur semasa zaman
kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Seterusnya, dari segi ekonomi
adalah ilmu pertukangan dan ukiran, pertanian, perniagaan, pelayaran,
penangkapan ikan dan perburuan. Misalnya, masyarakat Melayu tradisional
terkenal dengan kepakaran ilmunya dalam pelayaran dan pembuatan kapal layar
suatu ketika dahulu. Institusi pendidikan bagi elemen hala tuju pendidikan era
masyarakat tradisional adalah rumah, madrasah, masjid dan istana.
II.
Agama Islam
Agama
Islam pada asalnya telah disebarkan oleh pedagang-pedagang Islam dari Arab.
Ciri-ciri agama Islam yang bersifat toleransi, adil dan rasional telah menarik
minat golongan istana untuk menganut agama Islam dan seterusnya mendorong
masyarakat pada ketika itu untuk bersama-sama menganut agama Islam. Ibu bapa,
tuan guru, lebai, tokoh agama yang merupakan saudagar, pedagang dan pendakwah
Islam dari Timur Tengah yang bergelar Sayyid, Sheikh atau Maulana menjadi
peranan utama dalam penyebaran ilmu agama Islam dalam kalangan masyarakat era
Melayu tradisional. Kurikulum yang menjadi kepentingan adalah aspek fardu ain
dan fardu kifayah yang bersumberkan al-Quran, al-Hadis serta kitab-kitab yang
dibawa dari tanah Arab dan Mesir. Perkara-perkara yang dipelajari ialah
pengajian al-Quran, Hadis, Fiqh, Tauhid dan Tasawuf, Bahasa Arab dan tulisan
jawi. Tenaga pengajarnya adalah terdiri daripada para saudagar, pedagang dan
pendakwah Islam dari Timur Tengah. Selain itu, akhlak Rasulullah dijadikan
teladan dan panduan terutamanya peribadi seseorang muslim. Institusi yang
dijadikan sebagai tempat pengajaran dan pembelajaran adalah istana, rumah
pembesar, madrasah, masjid dan pondok. Pembelajaran agama dijalankan setiap
selepas waktu solat fardhu lima waktu iaitu pada waktu siang dan malam.
Contoh keadaan sekolah pondok di Tanah
Melayu
III.
Undang-undang dan
Peraturan
Undang-undang
dan peraturan diwujudkan adalah bertujuan untuk menjaga keamanan dan
keselamatan masyarakat di sesebuah kawasan atau pentadbiran. Oleh itu, semasa
era masyarakat Melayu tradisional, sistem perundangan negeri-negeri Melayu
meliputi undang-undang adat dan undang-undang bertulis. Undang-undang adat
adalah peraturan yang berasaskan amalan kebiasaan dalam kehidupan masyarakat.
Ia tidak ditulis atau dicatatkan tetapi dihafal secara turun-menurun dan
menjadi peraturan yang mesti dipatuhi. Undang-undang bertulis pula merupakan
himpunan peraturan larangan dan adat istiadat dalam bentuk bertulis. Antara
contoh undang-undang dan peraturan yang terdapat ketika era masyarakat Melayu
tradisional adalah seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.
Hukum Kanun Melaka bermula sejak kemunculan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka
iaitu adat Melayu dijadikan sebagai asas hukum. Ia adalah mengenai moraliti dan
keadilan, menghormati tradisi dan struktur sistem kekeluargaan. Hukum Kanun
Melaka adalah mencakupi 44 fasal yang meliputi persoalan adat. Selain itu,
Undang-undang Laut Melaka merupakan penjelasan tentang tugas nakhoda yang diberi
kuasa seperti seorang Raja iaitu Raja di lautan. Undang-undang laut ini hanya
dilaksanakan di lautan dan kapal sahaja. Oleh itu, jelaslah bahawa masyarakat
Melayu tradisional mempunyai undang-undang dan peraturan tersendiri yang
dijadikan panduan bagi menjaga kedaulatannya demi kesejahteraan rakyat.
Gambaran keadaan di Laut Selat Melaka
suatu ketika dahulu
IV.
Patriotisme
Hala
tuju pendidikan era masyarakat Melayu tradisional bagi elemen patriotisme
adalah bertujuan untuk melahirkan rakyat yang setia dan mendaulatkan raja.
Semasa era masyarakat Melayu tradisional, sifat patriotisme ditanam dalam diri
anggota masyarakat bagi membentuk masyarakat yang sanggup mempertahankan raja
dan tanah air. Oleh itu, sesebuah kerajaan itu dapat meluaskan empayar kerajaan
pemerintahannya disamping membentuk negeri yang stabil dan aman. Sifat ini
menjadi keutamaan dan ditekankan terutamanya kepada para pahlawan yang akan
berjuang bagi mengawal keselamatan raja, pembesar dan rakyat. Oleh itu, melalui
semangat patriotisme yang kental ini mampu melahirkan seseorang individu yang
mempunyai jati diri yang tinggi.
V.
Komunikasi
Penggunaan
bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa perantaraan pada era masyarakat Melayu
tradisional bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ‘lingua franca’.
Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas iaitu dalam urusan pentadbiran,
hubungan diplomatik dan perdagangan. Bahasa Melayu adalah mudah difahami dan
bahasa yang utama di rantau ini pada ketika itu. Ia telah digunakan oleh pedagang-pedagang
asing untuk berhubung dengan pegawai di Melaka. Selain itu, penggunaan tulisan
jawi sebagai tulisan rasmi dalam persuratan turut telah berkembang dengan baik.
Perkara ini dapat dibuktikan terdapatnya tulisan jawi pada batu bersurat di
Terengganu. Oleh itu, secara langsung perkara ini mampu membentuk sebuah
masyarakat yang mempunyai penguasaan ilmu yang pelbagai.
Bahasa Melayu sebagai ‘lingua franca’
untuk berkomunikasi oleh masyarakat tradisional di Tanah Melayu.
Penggunaan tulisan jawi pada Batu Bersurat
Terengganu.
VI.
Masyarakat
Hala
tuju pendidikan era masyarakat Melayu tradisional seterusnya adalah pada elemen
masyarakat itu sendiri yang bertujuan untuk membentuk masyarakat bersatu padu,
aman dan harmoni. Masyarakat Melayu pada era itu adalah terdiri daripada
pelbagai keturunan antaranya adalah Melayu, Bugis, Jawa, Banjar, Kampar, Rawa,
Minang, Mandailing dan lain-lain lagi. Manakala kaum di Tanah Melayu pada
ketika itu terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, pribumi
orang asal dan lain-lain. Kewujudan ini berlaku disebabkan oleh proses
penghijrahan. Oleh itu, walaupun mempunyai latar belakang masyarakat yang
berbeza, adalah menjadi keutamaan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu,
aman dan harmoni.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, pendidikan semasa era
masyarakat Melayu tradisional adalah secara informal dan keutamaannya adalah
bertujuan untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat. Oleh itu,
Falsafah Pendidikan era masyarakat Melayu Tradisional tebahagi kepada tiga
bahagian iaitu metafizik, epistemologi dan aksiologi. Falsafah pendidikan
melalui metafizik adalah menerangkan tentang Raja sebagai bayangan Tuhan, Raja
berdaulat, Tuhan sebagai pencipta serta kepercayaan dan ketaatan. Seterusnya,
falsafah pendidikan dari segi epistemologi adalah ilmu untuk kehidupan iaitu
agama, kesatria, komunikasi, pentadbiran, perdagangan dan undang-undang. Selain
itu, falsafah pendidikan dari segi aksiologi adalah etika iaitu adab, adat,
kiasan tamsil dan ibarat. Oleh itu, jelaslah bahawa hala tuju pendidikan era
masyarakat Melayu tradisional adalah sebagai satu keperluan untuk ikhtiar hidup
disamping mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat.
RUJUKAN
Adi Fadli. (2018). Konsep Pendidikan Imam
Al-Ghazali dan Relevansinya dalam Sistem Pendidikan di Indonesia. Journal of
Education and Religious Studies. Diperoleh
daripada http://ejournal.kopertais4.or.id/sasambo/index.php/elhikam/article/view/3087.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Adat.
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (p. 8). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010).
Pendidikan Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (p. 350). Kuala Lumpur, Malaysia:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Warisan
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (p. 1801). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Zurakintan Abdul Razak dan Che Ibrahim
Salleh. (2015). Pemikiran Melayu Tentang Ilmu dan Adab dalam Puisi Melayu
Tradisional. International Journal of the Malay World and Civilisation, 3(2),
121-129. Diperoleh daripada
https://pdfs.semanticscholar.org/8dd0/185a8e9bd90d1081dfd84044e8d173e242fe.pdf.
Hasil kerja:
MUHAMMAD 'AIZAT BIN SHAHZAN
-D20201094315-
Comments
Post a Comment